25/05/2015

Presiden, wakil rakyat dan rasuah

16/03/2003 

Presiden, wakil rakyat dan rasuah 

MINGGU lalu saya tidak sihat. Banyak idea yang dicatat tetapi fikiran buntu dan beku. Mohon maaf, ruangan ini tidak terisi. Demikianlah, dalam situasi begini semakin terasa betapa pentingnya kesihatan. Penting daripada segala-gala yang lain di dunia ini. Apapun tak berguna apabila kita sakit. Kita tahu! Malangnya apabila tidak sakit, kita selalu lupa. Terlupa akan pentingnya menjaga kesihatan. Bukanlah susah sangat. Tetapi kita tak ambil berat . Kita pun tahu, apa yang masuk ke dalam badan kita, terutama ke dalam perut, adalah sumber utama pelbagai penyakit. Namun kita selalu dikalahkan oleh nafsu. Benarlah bahawa nafsulah yang menjahanamkan manusia. AWAL bulan lalu saya melancong ke Bali. Mengambil kesempatan pakej pelancongan murah. Juga ingin melihat suasana Pulau Dewata ini setelah terjadi ledakan bom di sebuah kelab malam. Industri pelancongan Indonesia jadi musnah, belum juga nampak pulih. Peristiwa ini menggegarkan dunia - lebih hebat daripada Perang Teluk dan pembunuhan berterusan di Palestin. Sebabnya, ia dilakukan oleh `pengganas Islam' yang sedang jadi isu utama dunia milenium baru. Alangkah hebatnya pulau dewa-dewi Hindu di tengah-tengah dunia rumpun Melayu-Islam ini. Ia tidak lagi meminta korban di kawah gunung yang memuntahkan lava merah-panas, tetapi di kelab malam yang diwarna-warni oleh neon dan tumpahan arak. Demikianlah kiranya takdir dan dunia mengajar manusia yang tak akan pernah belajar daripada peristiwa masa lalu dan hanya menuturkan cinta damai di bibir, tidak di hati. Namun ketika berada di pulau yang dihiasi ribuan pura ini, fikiran saya tak dapat bebas daripada berita sosial-politik Indonesia yang sentiasa merangsang pemikiran pemerhati politik. Kebetulan pula tiga minggu sebelumnya saya berada di Jakarta - pusat pergolakan politik yang tak pernah sepi. Antara isunya ialah Pemilu (pilihan raya) 2004, terutama tentang calon presiden yang buat pertama kalinya akan dipilih secara langsung oleh rakyat. Nyata sekali, dalam negara berpenduduk 240 juta, yang cukup ramai tokoh politik, profesional dan tokoh ilmuan itu, sukar nampaknya bagi rakyat mencari seorang calon Presiden impian mereka. Reformasi yang menjanjikan kehidupan yang lebih baik, sungguh-sungguh mengecewakan rakyat. Justeru mereka merasa tiada lagi pemimpin politik yang boleh dipercayai dan diharapkan. Tentera pun mahu masuk kembali berperanan di dunia sivil. KKN (korupsi, kolusi dan nepotisme) yang menjadi senjata ampuh menjatuhkan rejim Soeharto, terus wujud, malah katanya lebih hebat lagi di zaman Megawati. "Setelah Soeharto lengser, korupsi menjalar dari birokrasi sampai kalangan legislatif dan parti politik. Parahnya, masing-masing pihak saling menutupi dan melindungi.' (Majalah Forum, 2 Mac 03). Realiti politik demokrasi zaman ini. KKN adalah penyakit semua pemerintah di mana-mana pun, parti apa pun. Islam dan tidak Islam sama saja. Bezanya banyak atau sedikit, terbongkar atau tidak. Dan masingmasing membuat tafsiran untuk menyelamatkan diri. Hubungan dagang dengan politik yang saling memerlukan, menjadikan wabak penyakit ini mudah menular dan sudah jadi sebagai suatu norma yang tak boleh ditolak lagi. Ada orang, yang apabila duduk di luar gerbang kuasa, menentang KKN; tetapi bila sudah masuk ke dalam, ia pun ikut menyanyi dan menari dengan tempo dan lagu yang sama. Di Kelantan dan Terengganu pun sudah ada bunga-bunga ke arah itu. Namun KKN itu banyak bentuk dan wajahnya, apa lagi bila dikaitkan dengan politik. Sehingga sukar amatlah kita mengesan dan mengenalinya, apa lagi untuk menghukum. Malah ada pun kolusi dan nepotisme yang dikatakan sah dan halal. Maka di Indonesia kehidupan rakyat pun semakin susah. Harga bahan keperluan pokok terus meningkat. Keamanan tidak terjamin. Penegakan hukum dan undang-undang masih dipersoalkan di mana-mana. Laungan reformasi yang nyaring di jalanan akhirnya tidak membawa reformasi. Maka ramailah rakyat bersikap apati - bosan berfikir dan tidak peduli. Namun Pemilu 2004 nanti pasti akan `ramai'. Dan rakyat tiada pilihan, selain mengharapkan atau mengangan-angankan muncul nanti seorang presiden yang akan jadi dewa penyelamat. Tidak mudah bagi sebuah negara padat seperti Indonesia yang semuanya sudah kusut dan kacau bilau. Mencari wakil rakyat berkebolehan KITA pun pasti juga akan menghadapi pilihan raya 2004. Mungkin bulan Mac atau April? Dan proses pemilihan calon sudah bermula. Bukan sekadar calon wakil rakyat, tetapi juga bakal-bakal Exco, Menteri Besar, Timbalan Menteri dan Menteri. Mudahnya, bakal Perdana Menteri kerajaan BN sudah ada. Malah sudah pun bekerja. Dan suatu pembaharuan sudah berlaku, apabila Kelantan mengisytiharkan bakal Menteri Besarnya awal-awal lagi - Datuk Mustapa Muhamad! Bahkan sudah ada cadangan supaya bakal-bakal calon yang lain pun diumumkan lebih awal. Jika ini berlaku, kita akan menyaksikan suatu perubahan suasana atau pergolakan politik yang besar menjelang pilihan raya akan datang. Suasana dan pergolakan yang mungkin baik atau juga buruk bagi Umno/BN. Bagaimanapun umumnya, tanpa berfikir, orang sukakan perubahan kerana perubahan adalah pembaharuan. Namun pembaharuan tidak semestinya membawa kebaikan. Rakyat umumnya memerlukan keamanan dan ketenteraman, pembangunan dan kemajuan, selesa hidup dan mudah cari makan, dan mudah pula beramal. Bukan perubahan dan pembaharuan? Maka di luar Kelantan dan Terengganu - walaupun hanya untuk MB - pengumuman calon lebih awal tak akan mungkin berlaku. Barangkali Pahang mungkin boleh, kerana MB dan semua wakil rakyatnya sebulat suara, rela hati mengundur diri! Keghairahan mengundurkan diri akibat tindakan penukaran pimpinan negeri di Kelantan (juga suatu fenomena baru dalam Umno), sudah sepi. Namun pasti ramai yang tak sedap hati, kerana ada desakan dan keinginan agar BN - khususnya Umno - mencalonkan muka baru yang lebih berkebolehan. Dikatakan peristiwa yang berlaku di Kedah, tidak seharusnya berulang lagi. Cantas mencantas menjelang pilihan raya lalu menyebabkan Kedah kehilangan pemimpin berwibawa, berbanding dengan wakil-wakil rakyat Pas. Di Jeli, 16 Januari lalu, Dr Mahathir berpesan: "Qualified people should be elected to run the Goverment because they can ensure an efective administration for the benefit of the people." (Orang yang berkelayakan hendaklah dipilih untuk mengurus Kerajaan kerana mereka boleh memastikan pentadbiran yang berkesan demi untuk kepentingan rakyat ." (NST, 17 Januari 03). Parti saya paling korup DALAM kesibukan Pemilu dan calon Presiden itu, tiba-tiba dalam ceramahnya pada Rapat Koordinasi Nasional Pendayagunaan Aparatur Negara, Kwik Kian Gie dengan nada lantang membuat pengakuan: "Korupsi paling besar dilakukan parti saya." Laporan lain menyebutkan kata Kwik : "PDIP adalah parti terkorup dan bakal hancur pada Pemilu 2004." Kwik adalah salah seorang pemimpin tertinggi PDIP pimpinan Megawati dan juga Menteri Negara Perencanaan Pembangunan. Manakala rakyat umum menyambut gembira akan ucapan Pak Menteri ini, para pemimpin PDIP amat tidak senang. Maka dengan pantas Kwik mengadap atau dipanggil mengadap Presiden. Namun ia terus menjadi topik panas dan bahan analisis berbagaibagai golongan. Sampai ada yang mencadangkan Kwik sebagai calon presiden. (Biasanya Cina Indonesia memakai nama peribumi, terutama nama Jawa. Sebab itu, pertama kali membaca nama "Kwik Kian Gie" kira-kira dua tahun lalu, saya agak terkejut. Apa lagi dilantik jadi menteri. Nampaknya Kwik tidak mahu bersembunyi di sebalik nama. Namun ia adalah seorang warga Indonesia yang popular dan disenangi.) Kata Kwik lagi, "Data konkrit ada, tapi kalau ditanya apakah biasa dibuktikan secara tertulis supaya yang bersangkutan bisa dituntut, itu tidak bisa kerana gejala korupsi itu sangat sulit." Lalu ia memetik cerita seorang pegawai di Bandung: "Kalau kedatangan orang PDIP, kami menjadi lebih takut daripada kedatangan Brimob (pasukan khas polis - seakan-akan FRU), kerana mereka (PDIP) meminta projek secara paksa, lalu mengancam apabila tidak diikuti, akan mengerahkan massa. Tanpa massa saja kami sudah takut, kerana mereka mendominasi DPRD ( seperti Dewan Undangan Negeri ) sehingga kami bisa dipecat." Adalah luar biasa apabila ada pemimpin tinggi parti pemerintah, apa lagi menteri, mengatakan secara terbuka, partinya paling korup. Kita pun selalu dengar amalan korupsi di kalangan pemimpin BN, tetapi setakat ini, pucuk pimpinan Umno hanya mengakui adanya praktik "politik wang". Bagi saya "politik wang" itu adalah istilah lunak untuk korupsi politik - menggunakan wang untuk membeli kedudukan-kuasa dalam parti yang sekali gus akan mendapat kedudukan-kuasa dalam kerajaan. Dan "politik wang" dalam parti itu adalah sejenis korupsi yang mudah menular ke dalam urusan pentadbiran yang membabitkan kegiatan perniagaan, umpamanya pemberian lesen, tanah kerajaan, kontrak dan kelulusan projek. Maka apabila membaca kisah-kisah korupsi di Indonesia, saya pun selalu teringat kepada negara kita. Perbuatan jahat rakyat Malaysia UCAPAN pertama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari pertama beliau memangku jawatan Perdana Menteri, menegaskan betapa perlunya kita menghapuskan "rasuah". Iltizam ini diberi sambutan ghairah dengan tajuk besar dalam akhbar-akhbar. Kata Datuk Seri Abdullah, " Kita juga mesti mengatakan sesetengah petunjuk perlu diberi perhatian yang ia tidak boleh diabaikan atau diketepikan. Pertama yang terlintas di fikiran saya ialah rasuah dan penyalahgunaan amanah. Ini berlaku dalam kedua-dua sektor - awam dan swasta. Ia perbuatan jahat oleh rakyat Malaysia daripada semua kaum." Suatu pengakuan jujur, meskipun tidak selantang pengakuan Kwik - ada "rasuah dan penyalahgunaan amanah!" Dalam "amanah" itu termasuklah kuasa dan kedudukan. Datuk Seri Abdullah tidak menyebut secara khusus siapa-siapakah yang termasuk dalam sektor awam dan swasta itu. Namun, selain daripada pegawai kerajaan, yang sentiasa menjadi buah mulut rakyat ialah rasuah dan penyalahgunaan amanah di kalangan pemimpin politik. Malah ada yang berpendapat, rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin politiklah yang menyebabkan merebaknya "perbuatan jahat rakyat Malaysia" yang disebut Datuk Seri Abdullah itu. Dan saya yakin hal ini memang ada dalam fikirannya. Maka untuk "mencabut rasuah hingga ke akar umbinya", kita kenalah bermula dari `sektor politik'. Meskipun rasuah telah wujud lama sebelum adanya pemimpin politik demokrasi, tetapi kesuburan akar umbinya sekarang ini, adalah bercambah dari `sektor politik'. Kata pepatah: "Bapak borek anaknya rintik" dan " Ke mana kuah tumpah kalau tidak ke nasi" dan "Keruh air di hulu keruhlah di hilir". (Pejabat Kumpulan AMONA, Prima Peninsular, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur - 13 Mac 03).

0 comments:

Post a Comment