28/05/2015

Usah biar generasi muda berpaksi pada budaya Barat

30/06/2003 

Usah biar generasi muda berpaksi pada budaya Barat 

Pauzi Mohd Isa 

JENAYAH terutama membabitkan pembunuhan kejam yang berlaku akhir-akhir ini membimbangkan semua pihak. Ada mangsa dibunuh, dirogol kemudian dibakar dan dicampak ke dalam longkang. Jenayah kejam seperti ini amat membimbangkan, lantas boleh menggugat keselamatan negara jika tidak dibendung. Kita hanya mampu menggelengkan kepala mendengar tragedi ini. Teguran Perdana Menteri yang kesal dengan peningkatan kadar kes jenayah kejam kebelakangan ini harus dipandang serius oleh semua pihak, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan tindakan lebih tegas dan berkesan diambil bagi mencegah jenayah kejam untuk menjamin keselamatan orang ramai. Menyedari keadaan ini, maka tumpuan membanteras jenayah haruslah terarah kepada usaha pencegahan agar dapat dikurangkan ke tahap paling minimum. Masyarakat perlu disedarkan terhadap tanggungjawab untuk membantu polis dengan bertindak cepat membuat aduan terhadap kegiatan mencurigakan. Pelbagai faktor dilihat menyumbang kepada peningkatan kejadian jenayah. Pengaruh internet yang tidak terkawal dengan laman web lucah dan ganas; buku dan novel yang berlambak di pasaran serta filem dan drama yang lebih menjurus ke arah keganasan dan cerita berbaur seks juga boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat, khususnya remaja. Contohnya filem aksi ganas seperti Terminator 1, Terminator 2 dan Terminator 3. Pengaruh filem seperti ini sangat kuat kepada kanak-kanak dan remaja kita. Keadaan ini harus membuka minda masyarakat agar dapat mengubah mentaliti remaja hari ini agar jangan terlalu taksub dengan filem Barat. Adakah kehidupan berkualiti begini yang hendak kita berikan kepada anak cucu kita pada kemudian hari? Bersandarkan kepada kepincangan ini, maka jalan penyelesaian harus diambil demi melihat generasi penggerak wawasan kita pada hari ini tidak tergelincir daripada norma dan adat budaya Malaysia yang berpaksikan adat ketimuran dan bukannya budaya Barat. Punca dari akar umbi perlulah dicari, sejajar dengan usaha untuk memperbetul masalah jenayah yang semakin meruncing ini. Tanggungjawab ibu bapa sebagai tonggak keluarga dilihat amat penting untuk memberi didikan agama yang cukup dalam membentuk akhlak terpuji anak-anak. Mereka juga perlu mengawasi kegiatan anak-anak agar tidak terjerumus kepada aktiviti tidak sihat. Peranan ibu bapa terangkum dalam satu matlamat untuk membentuk perwatakan anak-anak sebagai pelapis agar menjadi generasi berguna. Minda generasi muda ini janganlah dirosakkan dengan anasir negatif dari pelbagai sumber yang amat mudah diperoleh. Apa yang penting, luangkan masa bersama anak-anak. Seboleh-bolehnya pastikan masa senggang mereka diisi dengan kegiatan bermanfaat. Malangnya, mentaliti masyarakat kita pada hari ini terlalu mengambil mudah perkara ini. Anak-anak tidak harus dibiarkan terlalu `bebas' dengan alasan mereka sudah dewasa. Pengaruh luar, terutama rakan sebaya dan faktor persekitaran dilihat cukup kuat dan amat mudah meresap ke dalam jiwa, seterusnya membentuk perwatakan yang mungkin berlainan dengan apa yang diajar oleh ibu bapa. Peringkat awal, mungkin mereka akan mula berjinak-jinak dengan rokok, seterusnya najis dadah. Kemuncaknya mungkin sampai merompak dan membunuh jika terdesak kerana pengaruh dadah. Jika akal sudah `rosak', kewarasan fikiran sudah tiada lagi. Hakikat ini harus kita terima. Janganlah kita beranggapan anak kita tidak akan bertindak sampai ke tahap itu. Inilah yang selalu berlaku akibat pelbagai berkemungkinan. Institusi keluarga yang kucar-kacir juga akan menyebabkan nasib anak-anak tidak menentu. Bermula dari sinilah menyebabkan mereka akan bertindak sesuka hati. Memanglah, bukan semua yang menghadapi masalah konflik keluarga, boleh menyebabkan anak-anak terbabit dengan kegiatan jenayah. Namun, risiko ke arah itu tetap ada dan terbuka luas. Logiknya anak-anak akan membawa diri kerana tidak sanggup melihat masalah keluarganya. Pada waktu inilah segala `penyakit' akan hinggap dan berjangkit kepada anak-anak yang mindanya sudah terganggu ini. Untuk lari daripada masalah itu, apa saja boleh berlaku. Tanggungjawab pihak sekolah pula haruslah seiring, sesuai dengan peranannya sebagai institusi pendidikan untuk mendidik pelajar agar menjadi seorang insan berguna dan terdidik. Pendedahan berguna terhadap kesalahan dan akta kesalahan jenayah serta risiko yang bakal dihadapi perlu disematkan dalam jiwa anak-anak. Ini akan menyebabkan mereka menjauhkan diri dengan kegiatan ini. Natijahnya, jenayah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang negara. Kita perlu berpegang kepada falsafah `melentur buluh, biarlah dari rebungnya' dalam mencorak perwatakan anak. Persepsi inilah yang hendak kita semai dan baja kepada generasi muda. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu memahami dan menaruh kepercayaan penuh kepada pasukan polis untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Kerjasama kukuh perlu dimeterai agar hubungan polis dengan orang awam sentiasa terjalin akrab. 

PAUZI MOHD ISA, 
Bidor, Perak.

0 comments:

Post a Comment