03/07/2015

Singapura putar belit kebenaran dokumen

29/01/2003 

Singapura putar belit kebenaran dokumen 

Wan Esuriyanti Wan Ahmad; Wan Hazmir Bakar 

PUTRAJAYA: Kerajaan Singapura memutarbelitkan kebenaran yang terkandung dalam dokumen yang diedarkan kepada rakyatnya berhubung perbincangan rasmi peringkat pegawai tinggi membabitkan Malaysia dan republik itu mengenai isu air. Pengedaran dokumen yang mengandungi surat perbincangan antara pemimpin kedua-dua negara bukan saja melanggar etika dan prinsip diplomatik, malah menunjukkan muslihat negara itu yang hanya mahu memburukkan Malaysia. Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata ini kerana fakta yang dibentangkan dalam dokumen itu tidak menunjukkan situasi sebenar perbincangan yang berlangsung antara kedua-dua negara. "Mereka hanya mahu menunjukkan Malaysia salah dan ingin kata, mereka (Singapura) selama ini melakukan perkara betul. "Malah saya sudah baca dokumen itu dan saya rasa banyak perkara lain yang perlu dijelaskan tetapi tidak dilakukan Singapura," katanya kepada pemberita selepas menerima 600 naskhah buku daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia di Wisma Putra, di sini semalam. Beliau mengulas penerbitan 19 surat antara pemimpin Malaysia dan Singapura antara 2000 dan 2001 oleh Singapura menerusi Singapore Straits Times, akhbar milik Singapore Press Holdings. Surat berkenaan mengatakan "bagaimana Malaysia bersetuju meningkatkan harga air daripada tiga sen kepada 45 sen bagi setiap seribu gelen air dan kemudian menukar kepada 60 sen bagi seribu gelen dengan kajian harga akan dikaji semula setiap lima tahun". Menteri Luar Singapura, S Jayakumar memberitahu Parlimen Sabtu lalu bahawa "penerbitan dokumen itu perlu bagi menjelaskan keadaan sebenar dan memberi peluang kepada orang ramai mengadili sendiri dakwaan yang dibuat Malaysia." Syed Hamid berkata, Singapura bertindak mengumpul semua bahan berkenaan selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung harga air. "Tetapi cara dokumen itu dikeluarkan tidak menunjukkan perkara yang sebenar. Malah, mereka juga memetik kenyataan pemimpin Malaysia melalui surat khabar sebagai kenyataan rasmi. "Mereka tidak mendapatkan pengesahan dari Malaysia tetapi terus dengan permainan tuduh menuduh ini," katanya. Syed Hamid yang terkilan dengan tindak tanduk republik itu yang membelakangkan prinsip hubungan antarabangsa antara negara, memberi contoh hasil pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatannya, Goh Chok Tong sebelum ini telah menetapkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan isu harga air dulu kerana isu berkenaan adalah yang paling sukar. Bagaimanapun, katanya, apabila pemimpin berkenaan pulang ke Singapura, mereka menghantar surat mengatakan perkara itu tidak disebut dalam mesyuarat berkenaan. Ditanya sama ada Malaysia akan menghantar bantahan berikutan tindakan republik itu, beliau berkata: "Tidak. Singapura adalah negara merdeka. Mereka boleh keluarkan sebanyak mana dokumen yang mereka suka tetapi ini tidak bermakna kita perlu beri maklum balas kepada semuanya." Syed Hamid turut menegaskan bahawa, kedua-dua negara memahami dan menerima bahawa Malaysia tidak akan membekalkan air kepada republik itu selepas 2061, mengikut Perjanjian Air 1961 dan 1962. "Perjanjian sehingga 2011 akan dibatalkan...tak ada sambungan dan itu sudah diterima. Perjanjian sehingga 2061 juga tidak akan disambung di bawah situasi sekarang. Tidak ada lagi yang perlu dirundingkan mengenai perkara itu kerana yang menjadi pertikaian sekarang ialah harga air," katanya. Sementara itu, Singapura meneruskan kempen yang didakwanya pendedahan kebenaran berhubung isu air dengan menyiarkan sebahagian lagi surat pemimpin kedua-dua negara semalam, selain pandangan penganalisis strategi yang membidas Malaysia dan pungutan suara rakyatnya yang menyokong tindakan kerajaan mereka.

0 comments:

Post a Comment