PM sokong halang Nato (HL)
Kadir Dikoh
KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong penuh usaha Perancis, Jerman dan
Belgium
menghalang rancangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) untuk
melindungi Turki yang mungkin dijadikan pangkalan tentera Amerika
Syarikat
bagi melancarkan serangan ke atas Iraq.
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berkata pendirian
tiga
negara Eropah itu jelas menentang peperangan dan berusaha untuk mencari
jalan penyelesaian lain terhadap krisis Iraq.
"Nampaknya jelas pendirian mereka menentang perang dan untuk mencari
jalan penyelesaian lain terhadap masalah Iraq dan saya berpendapat, kita
menyokong penuh usaha ini," katanya selepas melancarkan pembangunan
Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.
Beliau mengulas tindakan tiga negara anggota Nato itu menghalang
pelaksanaan prosedur ketenteraan Nato bagi meningkatkan pertahanan Turki
jika perang dilancarkan ke atas Iraq.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan Washington dan Presiden George W
Bush
dalam reaksinya, menyuarakan kekecewaan serta menyifatkan langkah tiga
negara itu berpandangan cetek.
"Saya tidak faham mengapa mereka membuat keputusan menghalang Nato
daripada membantu sebuah negara seperti Turki membuat persiapan,"
katanya
dipetik Reuters.
Bush berkata, tindakan ketiga-tiga negara berkenaan memberi kesan
negatif kepada Nato.
Perancis, Jerman dan Belgium berhujah bahawa persediaan mempertahankan
Turki boleh dianggap sebagai menyokong tindakan ketenteraan terhadap
Iraq,
walaupun usaha penyelesaian secara diplomatik masih berterusan.
Turki yang mungkin dijadikan pangkalan tentera Amerika Syarikat bagi
menyerang Iraq dari bahagian sempadan utara, dilaporkan bimbang terhadap
serangan balas jirannya itu.
Di BRUSSELS, Nato sedang berusaha memecahkan kebuntuan paling besar
dalam sejarah 54 tahun penubuhannya tetapi Perancis, Jerman dan Belgium
tidak memberikan sebarang tanda bahawa mereka akan menyertai persiapan
sekutu itu untuk melancarkan serangan ke atas Iraq, yang diketuai
Amerika.
Perbezaan pendapat yang serius berhubung isu Iraq menyebabkan
kebuntuan
itu apabila tiga negara Eropah berkenaan enggan menghantar tentera ke
Turki, sebuah negara anggota Nato bagi mempertahankan negara itu
daripada
tindak balas Iraq jika tentera Amerika menyerang Iraq dari Turki.
Tiada petanda sebarang perubahan sikap daripada Perancis, kata seorang
pegawai pertubuhan 19 negara itu.
"Tetapi jika hanya satu negara enggan berbuat demikian, maka
kekuatannya
berbeza dengan tiga negara," katanya.
Buli & Masaalah Disiplin Pelajar : Cara Penyelesaian
5 months ago






0 comments:
Post a Comment