22/05/2015

Pakej kurangi kesan kelembapan ekonomi

22/05/2003 Pakej kurangi kesan kelembapan ekonomi Nor Liza Ahmad; Nur Lina Rasol; Zainab Mohd Yatim; Norliza Abdullah; PAKEJ Strategi Baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semalam, dijangka mampu mengekalkan momentum pertumbuhan dan mengurangkan kesan kelembapan kegiatan ekonomi negara dalam jangka pendek. Presiden yang juga Ketua Eksekutif Malayan Banking Bhd (Maybank), Datuk Amirsham A Aziz, berkata pakej itu juga akan menyediakan asas untuk ekonomi terus bertahan dan berdaya saing dalam jangka panjang. "Pakej ini membuktikan komitmen kukuh kerajaan dalam memastikan ekonomi negara kekal kukuh," katanya dalam kenyataan mengulas pengumuman pakej itu, di Kuala Lumpur semalam. Sementara itu, ahli ekonomi menyifatkan pakej itu sebagai bijak dan seimbang bagi merangsang perniagaan, sekali gus mengelak ekonomi negara daripada terjejas. Ahli ekonomi Mayban Securities Sdn Bhd berkata, pakej itu yang menyeluruh dari segi fiskal, kewangan dan sumber bekalan, mampu membantu menjana pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan panjang. Katanya, peruntukan dana RM7.3 bilion dari sumber dalaman adalah langkah strategik kerajaan mengawal defisit kewangan supaya tidak melebihi lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini. "Ia juga mengelak negara daripada terikat kepada dana asing yang mungkin memberi kesan kepada kedudukan penarafan terhadap Malaysia. "Secara amnya, pakej itu memberi kebaikan kepada semua lapisan masyarakat daripada pengguna hingga komuniti perniagaan," katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur. Beliau berkata, perolehan dana daripada sumber domestik itu juga mampu mengurangkan lebihan mudah tunai dalam sistem perbankan tempatan yang berjumlah RM59 bilion setakat 31 Mac lalu. Mencerminkan keseimbangan pakej itu, Standard & Poor's (S&P) dalam kenyataannya di London, semalam, berkata langkah Malaysia melaksanakan pakej itu akan meningkatkan hutangnya tetapi tidak menjejaskan penarafan. Sehubungan itu, agensi penarafan antarabangsa berkenaan mengekalkan penarafan mata wang tempatan "A+/Stabil/A-1" dan mata wang asing "BBB+/Stabil/A-2" yang diberikan kepada Malaysia. S&P menganggarkan hutang awam bersih kerajaan Malaysia akan meningkat kepada 37 peratus daripada KDNK menjelang akhir tahun ini, naik satu peratus berbanding 36 peratus daripada KDNK tahun lalu. Bagaimanapun S&P menegaskan tahap hutang bersih itu masih dalam jajaran yang sama dengan negara yang setaraf dengan Malaysia serta kekal dalam julat BBB iaitu 36 peratus daripada KDNK. Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi RAM Consultancy Sdn Bhd (RAM Consultancy), Dr Yeah Kim Leng, berkata pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja sebanyak dua peratus daripada 11 kepada sembilan peratus, akan meningkatkan pendapatan boleh guna. "Jumlah potongan ini adalah besar dan ia akan memberi kesan ketara bagi menggalakkan pengguna untuk berbelanja. "Secara amnya, pakej strategi ini akan memberi kesan jangka pendek secara langsung dan tidak langsung kepada pertumbuhan permintaan domestik," katanya.

0 comments:

Post a Comment