24/05/2015

Pereka landskap

31/10/2003 Pereka landskap 

By Kadir Dikoh 

APABILA longkang pecah, lampu jalan tak sempurna dan jalan berlubang, kelazimannya menjadi tanggungjawab pegawai majlis bandar raya atau perbandaran untuk memeriksa serta mengambil tindakan segera. Malah menjadi tanggungjawab orang ramai untuk membuat aduan jika perkara itu berlaku. Tetapi inilah dilakukan oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sekurangkurangnya di Kuala Lumpur apabila melihat ketidaksempurnaan berlaku. "Perdana Menteri akan terus menelefon saya apabila beliau melihat lampu jalan yang dipenuhi serangga mati.

Begitu juga apabila beliau melihat lampu condong atau kawasan tertentu yang kotor," kata bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Dr Elyas Omar. Pada suatu hari kata beliau, nasib menyebelahinya apabila Dr Mahathir membuat aduan mengenai lampu condong di Jalan Tun Abdul Razak. "Saya sebenarnya sudah melihat lampu condong itu dan sudah memberi arahan kepada pegawai saya untuk memperbaiki. Jadi apabila Perdana Menteri menelefon, saya pun kata sama ada beliau merujuk kepada Jalan Tun Razak. "Saya pun jawab "yes sir" (ya tuan) saya sudah lihat kejadian itu dan sudah beri arahan. 

Beliau pun gembiralah dengan tindakan pantas saya. Begitu juga apabila jalan berlubang, mujurlah saya tahu di mana dan apabila beliau menelefon, saya tahu. "Longkang pecah pun beliau tahu dan dalam banyak hal, beliau sebenarnya membantu tugas saya...PM bagaikan ketua pemeriksa jalan, kita harus berhati-hati. "Dulu tak ada telefon bimbit dan beliau akan terus menghubungi telefon pejabat saya. DBKL diletakkan terus di bawah pengawasan Perdana Menteri dan pada mesyuarat pasca Kabinet setiap minggu, ada saja idea baru beliau," katanya. Elyas berkata, Dr Mahathir adalah arkitek dan pemaju Kuala Lumpur sehingga memberi perhatian kepada banyak perkara walau sekecil mana sekalipun kerana minat yang mendalam. "Saya rasa sangat gembira bekerja dengannya. Itulah tahun-tahun terbaik sepanjang perkhidmatan saya dalam kerajaan iaitu 11 tahun sebagai Datuk Bandar, saya tak akan lupa. Beliau adalah bos terbaik," katanya. 

 Malah Dr Mahathir sendiri pernah membuat lakaran sendiri bagaimana bentuk landskap yang dimahukannya untuk mengindahkan ibu negara. "Suatu hari itu beliau panggil saya ke pejabatnya dan kemudian Perdana Menteri melukis di depan saya. Lakaran kasar itu kemudian saya beri kepada arkitek DBKL untuk menghalusinya lagi. "Hari ini anda tengoklah betapa cantiknya landskap bunga-bungaan di lereng bukit sepanjang jalan dari kawasan bangunan Parlimen ke Wisma Tani (Kementerian Pertanian). Itulah hasil lakaran Perdana Menteri, beliau bagaikan seorang arkitek. "Selama 11 tahun sebagai Datuk Bandar (1983 - 1992), setiap kali saya jumpa, ada saja idea baru Perdana Menteri. 

Saya mengekalkan hubungan rapat dengannya dan semua pembangunan Kuala Lumpur, saya lakukannya dengan rundingan yang begitu kerap dengan beliau," katanya. Elyas berkata, apabila balik dari luar negara, Dr Mahathir kerap kali memberikannya gambar, buku landskap atau apa saja yang dirasakan boleh dibuat untuk mencantikkan lagi bandar raya Kuala Lumpur. "Kadang-kala apabila saya sendiri pergi ke luar negara, saya pun ambil gambar dan tunjuk kepada Perdana Menteri sama ada ia boleh dilaksanakan di Kuala Lumpur. 

Pendeknya kami saling bertukar gambar," katanya. Beliau berkata, Dr Mahathir mahukan Kuala Lumpur menjadi kebanggaan setiap orang, cantik, bersih dan cukup kemudahan untuk semua. "Saya tak mahu guna kelas dunia untuk Kuala Lumpur...tak ada maknanya jika perkhidmatannya kelas ketiga. Anda tengok di Dubai, semua bangunan bersih... Singapura pun macam itu. "Inilah dimahukan oleh Dr Mahathir. Sekarang anda tengok banjir kilat akan berlaku bila turun saja hujan lebat.

Dulu tak ada langsung kecuali 1972. "Sekarang jalan raya sesak. Saya ada pelan untuk Kuala Lumpur yang boleh membebaskan diri daripada masalah kesesakan ini, tetapi pelan itu tak sempat saya laksanakan meskipun kertas Kabinet sudah disediakan," katanya. Antara sumbangan Elyas ialah membuat saranan kepada Dr Mahathir supaya bandar raya kembar Kuala Lumpur diwujudkan, kini dikenali sebagai Putrajaya dan membina bangunan tinggi dengan kawasan sekitarnya diwujudkan taman, kini dikenali sebagai Menara Berkembar Petronas serta KLCC. "Idea saya ialah supaya dibina pusat pentadbiran baru Kerajaan Pusat di Bukit Tinggi (dekat Janda Baik). 

Bandar Raya Kuala Lumpur sudah padat. Kita bincang dengan Perdana Menteri dan saya sediakan pelan. Apabila dibawa ke Kabinet, ia diluluskan. "Bagaimanapun, usaha menempatkan pusat baru itu di Bukit Tinggi tidak jadi. Perdana Menteri suruh saya pula mencari tapak ke arah Selatan, tetapi saya kemudian terpaksa letak jawatan... ini cerita lain pula. "Kemudian saya tak tahu, idea siapa menempatkan pusat pentadbiran itu di Putrajaya (dulu dikenali sebagai Prang Besar)," katanya. Elyas juga mengemuka idea kepada Dr Mahathir supaya kawasan lumba kuda di Ampang dipindah ke Sungai Besi dan dibina bangunan tinggi sebagai pusat komersial baru dan kawasan sekitarnya dibuat taman. "Perdana Menteri bertanya balik mengapa tidak dibina menara berkembar. Saya kata, saya mahu bangunan tinggi seperti 10 atau 20 tingkat dibina supaya tidak menggunakan kawasan tanah terlalu besar. "Saya mahu ia dijadikan seperti Hyde Park di London. 

Saya mahu bina tasik tiruan sedalam lima kaki supaya orang tak lemas. Kemudiannya, saya tidak tahu idea siapa membina bangunan setinggi 89 tingkat dan kemudian Petronas masuk. Kini kawasan itu adalah Menara kembar Petronas," katanya. Beliau berkata, pada masa itu tiada tarikan langsung bagi Kuala Lumpur dan kemudian Elyas mencadangkan pula pembinaan menara berpusing yang kini dikenali sebagai Menara Kuala Lumpur. ..TX: * Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad perlu terus menyumbang kepada negara dan dunia Islam kerana kedudukannya menghampiri `harta awam' tidak memungkinkan beliau bersara sepenuhnya. Sumbangan beliau amat diperlukan pada ketika Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) wajar disusun semula untuk menjadikannya lebih dinamik, berwibawa dan berorientasikan keputusan. 

 Presiden Pakistan Jeneral Pervez Musharraf * Saya amat berharap agar Dr Mahathir terus menjadi Pengerusi OIC dan membatalkan niat untuk bersara. Ini kerana kewibawaan dan ketokohan Dr Mahathir sangat dihargai dan terbukti banyak membantu menyelesaikan kemelut yang melanda umat Islam. Delegasi Oman ke OIC Mohamad Hassan * Ini adalah sidang kemuncak (Sidang Kemuncak Asean) terakhir bagi rakan sejawatan yang kami sayangi, seorang sahabat yang rapat dan pemimpin yang sangat dihormati oleh semua. Kita mengambil peluang untuk mengucapkan perpisahan kepada Bapak Mahathir. Ia perpisahan yang aneh kerana kebijaksanaannya sebagai negarawan sudah tertanam secara mendalam dalam ingatan sehingga kami rasa beliau akan sentiasa bersama kami. Pencapaian mindanya adalah jauh dan luas. Presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri.

0 comments:

Post a Comment