22/05/2015

Profil Dr Mahathir Mohamad

31/10/2003
Profil Dr Mahathir Mohamad
DATUK Seri Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981.
 Dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Alor Star, Kedah, Dr Mahathir
mendapat pendidikan awal dan menengah di bandar kelahirannya itu.
 Pada 1947, beliau melanjutkan pengajian di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura.
 Selepas menamatkan pengajiannya, beliau menyertai perkhidmatan awam
Malaysia sebagai Pegawai Perubatan. Pada 1957 beliau meninggalkan
perkhidmatan awam untuk membuka klinik persendirian di Alor Star.
 Dr Mahathir mula aktif dalam arena politik pada 1945. Beliau menjadi ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) sejak ditubuhkan pada 1946.
 Selepas memenangi pilihan raya umum pada 1964, Dr Mahathir dilantik
sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pada pilihan raya umum berikutnya iaitu pada 1969.
 Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan
membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama pada 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada 1972, Member of the University Court and University of Malaya Council serta Chairman of the National University Council pada 1974.
 Dr Mahathir dilantik sebagai Senator pada 1974. Beliau melepaskan
jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding.
 Berikutan daripada pilihan raya itu, Dr Mahathir dilantik sebagai
Menteri Pelajaran.
 Pada 1976, Dr Mahathir dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri selain terus menjalankan peranan dan tugas sebagai Menteri Pendidikan.
 Dalam rombakan Kabinet dua tahun kemudian, beliau melepaskan portfolio Pendidikan untuk menyandang jawatan baru sebagai Menteri Perdagangan dan
Industri. Setelah dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Industri, Dr Mahathir mengetuai pelbagai misi dan promosi pelaburan di luar negara.
 Dr Mahathir dipilih sebagai seorang daripada tiga Naib Presiden Umno pada 1975. Pada 1978, beliau memenangi kerusi Timbalan Presiden parti dan pada 1981 beliau dilantik sebagai Presiden parti. Beliau mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden parti pada 1984 apabila menang tanpa
bertanding.
 Pada pemilihan parti 1987, Dr Mahathir mengalahkan lawannya untuk
mengekalkan jawatan Presiden dan pada 1990 dan 1993, sekali lagi beliau menang tanpa bertanding sebagai Presiden parti.
 Di bawah pentadbiran beliau, parti memerintah Barisan Nasional (BN)
memenangi pilihan raya umum berturut-turut pada 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.
 Dr Mahathir berkahwin dengan seorang doktor, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dan mereka dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura, dan Mazhar.


 Dr Siti Hasmah Mohd Ali



 DATIN Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali adalah contoh wanita unggul sama ada dari segi peribadi dan kecemerlangan profesionnya.

 Beliau adalah seorang daripada wanita Melayu pertama yang menjadi doktor di negara ini dan doktor wanita pertama menjadi Pegawai Perubatan dalam perkhidmatan awam di Kedah.
 Sejak suaminya, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1981, beliau menggunakan dengan bijak kedudukannya sebagai isteri Perdana Menteri untuk berkempen mengenai kesihatan wanita, perancangan keluarga, penyalahgunaan dadah dan bacaan dewasa.
 Beliau adalah perintis kepada bidang perubatan yang mana Dr Siti Hasmah adalah antara wanita Melayu pertama ditawarkan memasuki bidang perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura selepas perang.
 Pada 1955, beliau menerima Ijazah Doktor Perubatan dari Fakulti
Perubatan, Universiti Malaya, Singapura dan kemudian berkhidmat di dalam perkhidmatan perubatan kerajaan.
 Pada 1965, Dr Siti Hasmah menjadi wanita pertama dilantik sebagai
Pegawai Perubatan di Bahagian Kesihatan Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak serta pada 1974, beliau juga adalah wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Negeri Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak.
 Dr Siti Hasmah juga ada menyumbang karya penulisan dalam bidang
perubatan keluarga dan faktor sosio ekonomi yang berkaitan dengan
mengandung dan pembesaran kanak-kanak di Malaysia.
 Beliau turut menyumbang dalam perkhidmatan kemasyarakatan menerusi
beberapa pertubuhan termasuk sebagai Presiden Persatuan Pandu Puteri
Malaysia, Pengerusi Persatuan Perancang Keluarga Negeri Kedah, Presiden Persatuan Yayasan Perubatan Malaysia, Presiden Persatuan Pemulihan Kanak-Kanak Cacat, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Perancang Keluarga Malaysia, Penasihat Persatuan Kesihatan Ibu Mengandung dan Neonatal serta Penasihat Persatuan Pediatrik Malaysia.
 Sebagai Presiden Badan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan
Menteri (Bakti), Dr Siti Hasmah aktif dalam usaha mendidik golongan muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
 Pada 1985, atas jemputan Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Nancy
Reagan, beliau menghadiri Persidangan Wanita Pertama berkenaan
Penyalahgunaan Dadah di Washington DC. Beliau juga mewakili Malaysia ke Persidangan Antarabangsa Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah di Vienna pada 1987.
 Komitmen beliau melakukan kerja-kerja sukarela, dan kepemimpinan beliau dalam bidang kesihatan awam, penulisan dan kawalan penyalahgunaan dadah sepanjang 23 tahun dalam perkhidmatan awam melayakkan Dr Siti Hasmah menerima pelbagai anugerah.
 Beliau menerima Anugerah Kazue McLaren daripada Konsortium Asia Pasifik Kesihatan Awam pada 1988 dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganugerahkan beliau Doktor Kehormat dalam Sains Perubatan pada 1991.
 Pada 1992, Royal College of Physicians, Ireland menganugerahkan beliau Doktor Kehormat dalam Kesihatan Awam.
 Pada Mei 1994, Indiana University, Bloomington menganugerahkan Dr Siti Hasmah Doktor Kehormat Humane Letters, dan pada Ogos tahun yang sama, beliau menerima Doktor Kehormat Undang-Undang daripada University of Victoria, British Columbia, Canada.
 Dr Siti Hasmah juga aktif di arena antarabangsa dalam mengenengahkan masalah wanita luar bandar. Pada 1992, di atas jemputan Queen Fabiola, Belgium, beliau menghadiri Mesyuarat Wanita Pertama untuk Peningkatan Ekonomi untuk Wanita Luar Bandar di Geneva. Beliau dilantik sebagai seorang daripada enam Kumpulan-Teras Pengerak untuk Wanita Pertama mewakili Asia Pasifik.
 Pada Februari 1994, Dr Siti Hasmah menghadiri Mesyuarat ISC Council di Brussels atas jemputan Queen Fabiola. Kemudian pada September 1995, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Ekonomi Wanita Luar Bandar dan Pulau untuk rantau Asia Pasifik.
 Akhirnya, pada November 1996, beliau mengambil alih jawatan Presiden Jawatankuasa Pemandu Antarabangsa Peningkatan Ekonomi Wanita Luar Bandar dan Pulau bagi rantau Asia Pasifik.
 Dr Siti Hasmah juga berminat dalam kesihatan mental. Wanita Pertama AS yang terdahulu Lady Rosalynn Carter telah menjemput Dr Siti Hasmah untuk memberi khidmat dalam Jawatankuasa Kebangsaan Pertubuhan Kesihatan Mental Dunia.
 Sebagai Penasihat Pertubuhan Pan Pacific South Asia Women's, (PPSEAWA) Malaysia, Dr Siti Hasmah telah menghadiri dan memberi ucapan penting di beberapa persidangan di Tokyo (1984), Bangkok (1991) dan Tonga (1994).
 Pada Jun 20, 1997 beliau dilantik sebagai Canselor Universiti Multimedia(MMU).

0 comments:

Post a Comment