29/05/2015

PM Sri Lanka anggap Dr Mahathir pemimpin contoh

10/09/2003 

PM Sri Lanka anggap Dr Mahathir pemimpin contoh 

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad harus dikagumi dan wajar menjadi iktibar untuk dicontohi pemimpin negara membangun dan negara dunia ketiga lain, kata Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe. Beliau, yang berada di sini sempena lawatan rasmi selama dua hari mulai semalam, berkata kunjungannya ke sini memang sengaja dilakukan sebelum Dr Mahathir bersara supaya berkesempatan bertukar pendapat dengannya. "Sri Lanka berterima kasih kepada Malaysia, khususnya Dr Mahathir, yang banyak memberi sokongan kepada kami ketika menghadapi pelbagai dugaan, terutama dalam peperangan menentang gerila Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE). 

"Dalam perjumpaan kali ini kami banyak membincangkan cara membangunkan semula Sri Lanka selepas lebih 20 tahun dilanda peperangan dengan LTTE yang menuntut wilayah autonomi di bahagian utara. "Pengalaman Dr Mahathir membangunkan Malaysia sudah pasti saya manfaatkan di negara sendiri kerana terbukti berkesan," katanya pada sidang media di sini semalam. Wickremesinghe berkata, Sri Lanka kini mengecapi keamanan sejak 18 bulan lalu berikutan persetujuan gencatan senjata antara LTTE dan kerajaan dan beliau yakin ia akan berkekalan walaupun wujud beberapa masalah dalam proses damai.

Namun, katanya, setakat ini tiada pertembungan berlaku antara tentera kerajaan dan LTTE, sekali gus mewujudkan suasana sesuai bagi menarik pelaburan asing dan membangunkan sektor ekonomi yang teruk terjejas akibat perang. Antara sektor yang diminati Sri Lanka ialah pendidikan maya, pertanian dan pembangunan infrastruktur yang sifatkan sebagai pemangkin merancakkan semula kegiatan ekonomi tempatan dalam sektor lain. Sebelum bermulanya peperangan dengan LTTE, Sri Lanka adalah antara negara yang paling pesat membangun dan pernah dijadikan model oleh negara serantau, termasuk Malaysia dan Singapura. Justeru, Wickremesinghe berkata, beliau yakin Sri Lanka dapat berdiri kembali dengan bantuan rakan serantau lain seperti Malaysia dengan meningkatkan pelaburan dalam pelbagai pembangunan yang dirancang. Sehubungan itu, beliau menggesa usahawan tempatan menjalin kerjasama dengan usahawan Sri Lanka supaya pertukaran dagangan memanfaatkan keduadua negara.

0 comments:

Post a Comment